Serangan Serangan 11 September 2001

Peta yang menunjukkan serangan ke atas WTC (pesawat tidak dilukiskan mengikut skala).Penerbangan 175 United Airlines menghempas ke dalam menara selatan.Rakaman kamera keselamatan Penerbangan 77 menghempas Pentagon.[9]

Pada awal pagi 11 September 2001, 19 orang perampas mengambil alih pengemudian empat buah pesawat penumpang komersil yang berada dalam perjalanan ke San Francisco dan Los Angeles dari Boston, Newark, dan Washington, D.C.[10] Pada 8:46 pagi, Penerbangan 11 American Airlines terhempas ke dalam Menara Utara World Trade Center, disusuli oleh Penerbangan 175 United Airlines yang merempuh Menara Selatan pada 9:03 pagi.[11][12]

Sekumpulan lagi perampas menerbangkan Penerbangan 77 American Airlines ke dalam Pentagon pada 9:37 pagi,[13] dan yang satu lagi, iaitu Penerbangan 93 United Airlines, terhempas dekat Shanksville, Pennsylvania, pada 10:03 pagi, setelah para penumpangnya bertarung dengan perampas. Sasaran mutlak Penerbangan 93 dijangkakan sama ada bangunan Kapitol (tempat persidangan Kongres Amerika Syarikat) atau Rumah Putih.[14][15]

Sesetengah penumpang sempat membuat panggilan dengan menggunakan khidmat telefon udara dalam kabin dan telefon bimbit[16][17] untuk memberikan maklumat mengenai pencerobohan perampas pesawat, bahawa cokmar atau suatu jenis semburan kimia beracun telah digunakan, seperti gas pemedih mata atau semburan lada, lebih-lebih lagi adanya penumpang yang cedera ditikam.[18][19][20][21] Dilaporkan bahawa dalam dua penerbangan terlibat, perampas menikam dan membunuh juruterbang, pramugari dan sekurang-kurangnya seorang penumpang.[22][23] Suruhanjaya 9/11 mendapati bahawa dua orang perampas baru membeli peralatan tangan pelbagai fungsi jenama Leatherman sebelum menaiki pesawat.[24]Seorang pramugara Penerbangan 11, seorang penumpang Penerbangan 175, dan beberapa orang penumpang Penerbangan 93 menyebut bahawa para perampas itu memegang bom, tetapi salah seorang penumpang itu juga menyebut bahawa bom itu adalah palsu. Tiada kesan bahan letupan ditemui di tempat-tempat hempasan, maka Suruhanjaya 9/11 percaya bahawa bom-bom itu mungkin sekali palsu.[22]

Dalam Penerbangan 93 United Airlines, satu transkrip audio rakaman perakam suara kokpit mendedahkan bahawa para kakitangan dan penumpang cuba menawan semula kapal terbang daripada perampas setelah mengetahui bahawa pesawat-pesawat lain yang ditahan telah terhempas pada bangunan pada pagi itu melalui panggilan telefon.[25] Salah seorang perampas mengeluarkan arahan mengoleng kapal terbang apabila mereka semakin hilang kawalan pesawat kepada penumpang.[26] Tidak lama kemudian, pesawat itu terhempas di atas sebuah padang berdekatan Shanksville di Perbandaran Stonycreek, Kaunti Somerset, Pennsylvania, pada 10:03:11 pagi waktu tempatan (14:03:11 UTC).

Pemandangan World Trade Center sebaik selepas kedua-dua menara runtuh (7 World Trade Center kelihatan masih berdiri).

Dalam temuramah September 2002 yang dijalankan oleh Yosri Fouda, seorang pembikin dokumentari dan wartawan al Jazeera, Khalid Sheikh Mohammed dan Ramzi bin al-Shibh yang dipercayai mengaturkan serangan, mengakui bahawa pesawat keempat itu dihalakan ke arah Kapitol Amerika Syarikat, yang diberikan nama kod "Fakulti Undang-Undang",[27] bukan Rumah Putih. Mereka menjelaskan lagi bahawa al-Qaeda pada mulanya merancang untuk membawa pesawat yang dirampasnya itu ke tempat nuklear daripada World Trade Center dan Pentagon, tetapi akhirnya memutuskan untuk tidak menyerang loji nuklear "buat sementara" atas kebimbangan bahawa keadaan boleh "menjadi di luar kawalan".[28]

Tiga buah bangunan di Kompleks Pusat Dagangan Dunia runtuh akibat kegagalan struktur pada hari kejadian.[29] Menara selatan (2 WTC) runtuh kira-kira 9:59 pagi, setelah terbakar selama 56 minit disebabkan kesan pelanggaran Penerbangan 175 United Airlines.[29] Menara utara (1 WTC) runtuh pada 10:28 pagi, setelah terbakar selama kira-kira 102 minit.[29] Ketika menara utara runtuh, sisa runtuhannya turut merosakkan dan menyebabkan kebakaran bangunan 7 World Trade Center (7 WTC). Kebakaran ini marak selama berjam-jam dan turut menjejaskan keutuhan struktur bangunan, sehingga menyebabkan emper timur tumbang pada 5:20 petang, dan seluruh binaan runtuh seminit kemudian.[30][31]

Kejadian ini menimbulkan kekalutan yang berleluasa di kalangan pertubuhan berita dan pengawal lalu lintas udara di merata Amerika Syarikat. Semua lalu lintas utara awam antarabangsa dilarang mendarat di atas tanah AS selama tiga hari.[32] Pesawat yang sudah terbang pula dipaksa berpatah balik atau dilencongkan ke lapangan terbang di Kanada atau Mexico. Sumber berita menyiarkan laporan-laporan yang tidak disahkan dan sering kali bercanggah sesamanya sepanjang hari. Salah satu laporan yang terpenting adalah berkenaan bom kereta yang diledakkan di ibu pejabat Jabatan Negara di Washington, D.C.[33] Sebaik sahaja selepas melaporkan kejadian di Pentagon buat pertama kali, sesetengah media turut melaporkan bahawa berlakunya kebakaran di National Mall.[34] Satu lagi laporan tersiar dalam corong Associated Press yang mendakwa bahawa sebuah pesawat Delta Air Lines turut dirampas, tetapi rupanya laporan itu tersilap; pesawat ini pada awalnya disangka mempunyai risiko dirampas, tetapi ia mematuhi arahan pengawal dan mendarat secara selamat di bandar Cleveland, Ohio.[35]

Mangsa

Laluan Penerbangan 93 sehingga terhempas di Pennsylvania Selatan pada 11 September

Terdapat sejumlah 2,996 kehilangan nyawa, termasuk 19 perampas dan 2,977 mangsa.[36] Taburan korban adalah seperti berikut: 246 orang di keempat-empat pesawat (daripada mana tiada yang terselamat), 2,606 orang di Bandar Raya New York, di dalam menara berkembar dan atas tanah, dan 125 orang di bangunan Pentagon.[37][38] Kesemua mangsa korban dalam kejadian ini adalah orang awam, kecuali 55 kakitangan tentera yang terbunuh dalam serangan di Pentagon.[39]

Lebih 90 buah negara kehilangan warga dalam serangan ke atas World Trade Center.[40] Pada tahun 2007, pejabat pemeriksa perubatan Bandar Raya New York menambahkan Felicia Dunn-Jones ke dalam jumlah kematian serangan 11 September. Dunn-Jones meninggal dunia lima bulan selepas 9/11 akibat penyakit paru-paru yang berkaitan dengan keterdedahan kepada habuk ketika runtuhnya World Trade Center.[41] Leon Heyward yang mati akibat limfoma pada tahun 2008, ditambahkan dalam jumlah kematian pada tahun 2009.[42]

Kematian (tidak termasuk perampas)
Bandar Raya
New York
World Trade Center2,606[37][43]
American 1187[44]
United 17560[45]
ArlingtonPentagon125[46]
American 7759[47]
ShanksvilleUnited 9340[48]
Jumlah2,977

NIST menganggarkan seramai 17,400 orang awam berada di dalam World Trade Center sewaktu kejadian, sementara kiraan lawang putar daripada Lembaga Pelabuhan menyatakan bahawa 14,154 orang kekal dalam Menara Berkembar pada 8:45 pagi.[49][50] Majoriti besar orang di bawah zon hempasan selamat mengosongkan bangunan, bersama 18 orang yang berada dalam zon hempasan di menara selatan, dan sebilangan kecil lagi di atas zon hempasan yang memanfaatkan satu-satunya ruang tangga yang masih elok dalam menara selatan.[51] Sekurang-kurangnya 1,366 orang terkorban berada di dalam atau atas aras terhempas di Menara Utara dan sekurang-kurangnya 618 orang di Menara Selatan, di mana usaha pengosongan telah bermula sebelum hempasan kedua.[52] Maka, lebih 90% pekerja dan pelawat yang terkorban di Menara Berkembar ini berada searas atau di atas kawasan hempasan.

Menurut Laporan Suruhanjaya, ratusan mangsa korban dibunuh serta-merta dalam hempasan, manakala yang selebihnya terperangkap dan mati selepas menara runtuh.[53] Sekurang-kurangnya 200 orang melompat sampai mati dari menara yang terbakar (seperti yang digambarkan dalam foto "The Falling Man"), menjunam beratus-ratus kaki tingginya hingga terhempap di jalan-jalanan dan bumbung-bumbung bangunan berdekatan.[54] Sesetengah penghuni menara di atas zon hempasan bergegas ke aras bumbung dengan harapan diselamatkan oleh helikopter, tetapi pintu masuk bumbung dikunci. Tiadanya pelan yang wujud untuk penyelamatan dengan helikopter, dan pada 11 September, asap yang berkepul-kepul dan haba yang melampau menghalang usaha menyelamat oleh helikopter.[55]

Sisa runtuhan 6 World Trade Center beberapa hari selepas kejadian.

Sejumlah 411 pekerja kecemasan yang bergerak balas kepada kejadian terkorban ketika cuba menyelamatkan orang serta memadamkan api. Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) keguguran 341 orang ahli bomba dan 2 orang paramedik.[56] Jabatan Polis Bandar Raya New York pula kehilangan 23 orang anggota.[57] Jabatan Polis Lembaga Pelabuhan kehilangan 37 orang pegawai,[58] dan 8 lagi EMT dan paramedik daripada perkhidmatan perubatan kecemasan swasta turut terkorban.[59][60]

Selain New York, negeri New Jersey juga paling teruk terjejas, dengan bandaraya Hoboken yang mengalami kematian teramai.[61]

Beberapa minggu selepas kejadian, bilangan korban dianggarkan melebihi 6,000,[62] tetapi rupanya ini lebih dua kali bilangan yang disahkan mati. Pihak bandaraya hanya mampu mengenal pasti identiti mayat untuk kira-kira 1,600 mangsa di World Trade Center. Pejabat pemeriksa perubatan juga mengumpul "kira-kira 10,000 cebisan tulang dan tisu tak terkenal pasti yang tidak dapat dipadankan dengan senarai mangsa korban".[63] Cebisan tulang masih ditemui pada tahun 2006, apabila para pekerja bersedia untuk merobohkan Bangunan Deutsche Bank yang rosak teruk. Operasi tersebut siap pada tahun 2007. Pada 2 April 2010, sepasukan pakar antropologi dan arkeologi mula mencari tinggalan manusia, artifak manusia dan barang-barang milik peribadi di Kambus Tanah Fresh Kills di Staten Island. Operasi itu siap pada Jun 2010 dengan penemuan 72 tinggalan manusia, maka jumlah mayat manusia yang dijumpai meningkat kepada 1,845. Identiti 1,629 mangsa serangan di World Trade Center telah dikenal pasti. Pemprofilan DNA dalam cubaan mengenal pasti mangsa tambahan sedang dijalankan.[64]

Kerosakan

Pentagon runtuh separa akibat kebakaran.

Di samping Menara Berkembar 110 aras itu sendiri, banyak lagi bangunan lain di tapak World Trade Center turut ranap atau rosak teruk, termasuk 7 World Trade Center, 6 World Trade Center, 5 World Trade Center, 4 World Trade Center, Marriott World Trade Center (3 WTC), kompleks Pusat Kewangan Sedunia dan Gereja Ortodoks Yunani St. Nicholas.[65]

Daripada bangunan-bangunan dan struktur-struktur milik kompleks World Trade Center, Menara Utara (1 World Trade Center), Menara Selatan (2 World Trade Center), Hotel Marriott (3 World Trade Center) dan 7 World Trade Center musnah sepenuhnya, manakala 4 World Trade Center, 5 World Trade Center, One Liberty Plaza, Pejabat Kastam A.S. (6 World Trade Center), dan kedua-dua jejantas pejalan kaki pula rosak teruk. Bangunan Deutsche Bank di 130 Liberty Street mengalami kerosakan separa dan terpaksa dirobohkan kemudian. Kedua-dua bangunan World Financial Center turut mengalami kerosakan.

Bangunan Deutsche Bank di seberang Liberty Street dari kompleks World Trade Center kemudian diisytiharkan tidak selamat disebabkan keadaan toksik dalam menara pejabat lalu menjalani perobohan.[66][67] Dewan Fiterman di Kolej Komuniti Daerah Perbandaran Manhattan di 30 West Broadway turut disahkan tidak selamat disebabkan kerosakan berleluasa akibat selatan, dan juga bakal dinyahbina.[68]

Bangunan-bangunan berdekatan yang lain pula, termasuk 90 West Street dan Verizon Building turut mengalami kerosakan besar, tetapi berjaya dipulihkan.[69] Bangunan-bangunan World Financial Center, One Liberty Plaza, hotel Millenium Hilton, dan 90 Church Street mengalami kerosakan sederhana,[70] kesemuanya dipulihkan. Kelengkapan komunikasi di atas Menara Utara turut musnah, termasuk radio, televisyen dan antena radio dua hala, tetapi stesen media sempat menghalakan isyarat dan memulihkan penyiaran.[65][71] Di Kaunti Arlington, sebahagian bangunan Pentagon teruk dimusnahkan oleh api sehingga satu seksyen bangunan itu runtuh.[72]

Penyelamatan dan pemulihan

Seorang mangsa yang cedera dalam serangan Pentagon dibawa keluar.

Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) cepat menghantar 200 unit (separuh jabatan) ke tempat kejadian. Usahanya dibantu oleh ramai ahli bomba tak bertugas dan juruteknik perubatan kecemasan.[73][74][75] Jabatan Polis New York (NYPD) menghantar unit-unit Perkhidmatan Kecemasan dan ramai lagi kakitangan polis yang lain, di samping mengutuskan unit udara.[76] Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, anggota FDNY, NYPD, dan polis Lembaga Pelabuhan tidak menyelaraskan usaha,[73] sebaliknya terpaksa melakukan kerja pencarian orang awam yang berlebihan.[77]

Apabila keadaan bertambah teruk, unit udara NYPD menyampaikan maklumat kepada komander polis supaya mengeluarkan arahan kepada para anggota untuk meninggalkan menara-menara itu; kebanyakan pegawai NYPD sempat keluar dengan selamat sebelum bangunan itu runtuh.[76][77] Disebabkan pos perintah berasingan serta komunikasi radio yang tidak serasi sesama agensi, amaran tidak disampaikan kepada komander FDNY.

Selepas menara pertama tumbang, komander FDNY juga mengeluarkan amaran pengosongan; bagaimanapun, disebabkan masalah teknikal akibat kerosakan sistem pengulang radio, ramai ahli bomba yang tidak dapat menerima arahan itu. Penghantar 9-1-1 juga menerima maklumat daripada pemanggil yang tidak disampaikan kepada komander di tempat kejadian.[74] Dalam beberapa jam selepas serangan, bermulanya sebuah operasi mencari dan menyelamat besar-besaran. Selepas berbulan-bulan operasi sepanjang masa, tapak World Trade Center akhirnya dibersihkan pada lewat Mei 2002.[78]

Rujukan

WikiPedia: Serangan 11 September 2001 http://www.theage.com.au/news/world/spain-jails-18... http://www.cbc.ca/world/story/2004/10/29/binladen_... http://www.cbc.ca/world/story/2006/09/07/al-qaeda-... http://www.tc.gc.ca/mediaroom/releases/nat/2001/01... http://www.chass.utoronto.ca/~ikalmar/illustex/bau... http://www.amconmag.com/2005_08_01/article3.html http://www.architectureweek.com/2001/0926/today.ht... http://www.biography.com/profiles-of-9-11/about911... http://www.bloomberg.com/news/2010-09-11/new-york-... http://sysdesignshowcase.broadcastengineering.com/...